Menulusuri jejak Sunnah - Firqotun Najiyah

Syekh Muhammad Abdul wahab
Home | Thibbun An Nabawi | Link | Mengenal Ulama | Artikel Umum | Referensi | Aqidah | Firqah baru | Fiqih | Hadits | Sejarah | Sholat Kita | Informasi

BELIAU adalah Syeikh al-Islam al-Imam Muhammad bin 'Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Muhammad bin al-Masyarif at-Tamimi al-Hambali an-Najdi.
Tempat dan Tarikh Lahirnya
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab dilahirkan pada tahun 1115 H (1701 M) di
kampung 'Uyainah (Najd), lebih kurang 70 km arah barat laut kota Riyadh,
ibukota Arab Saudi sekarang.
Beliau meninggal dunia pada 29 Syawal 1206 H (1793 M) dalam usia 92 tahun,
setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun dalam memangku jabatan
sebagai menteri penerangan Kerajaan Arab Saudi .
Pendidikan dan Pengalamannya
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab berkembang dan dibesarkan dalam kalangan
keluarga terpelajar. Ayahnya adalah ketua jabatan agama setempat. Sedangkan
datuknya adalah seorang qadhi (mufti besar), tempat di mana masyarakat Najd
menanyakan segala sesuatu masalah yang bersangkutan dengan agama. Oleh
kerana itu, kita tidaklah hairan apabila kelak beliau juga menjadi seorang
ulama besar seperti datuknya.
Sebagaimana lazimnya keluarga ulama, maka Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab
sejak masih kanak-kanak telah dididik dan ditempa jiwanya dengan pendidikan
agama, yang diajar sendiri oleh ayahnya, Tuan Syeikh 'Abdul Wahab.
Sejak kecil lagi Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab sudah kelihatan
tanda-tanda kecerdasannya. Beliau tidak suka membuang masa dengan sia-sia
seperti kebiasaan tingkahlaku kebanyakan kanak-kanak lain yang sebaya
dengannya.
Berkat bimbingan kedua ibu bapanya, ditambah dengan kecerdasan otak dan
kerajinannya, Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab telah berjaya menghafaz
al-Qur'an 30 juz sebelum berusia sepuluh tahun.
Setelah beliau belajar pada ibu bapanya tentang beberapa bidang pengajian
dasar yang meliputi bahasa dan agama, beliau diserahkan oleh ibu bapanya
kepada para ulama setempat sebelum dikirim oleh ibu bapanya ke luar daerah.
Tentang ketajaman fikirannya, saudaranya Sulaiman bin 'Abdul Wahab pernah
menceritakan begini:
"Bahwa ayah mereka, Syeikh 'Abdul Wahab merasa sangat kagum atas kecerdasan
Muhammad, padahal ia masih di bawah umur. Beliau berkata: 'Sungguh aku telah
banyak mengambil manfaat dari ilmu pengetahuan anakku Muhammad, terutama di
bidang ilmu Fiqh.'"
Syeikh Muhammad mempunyai daya kecerdasan dan ingatan yang kuat, sehingga
apa saja yang dipelajarinya dapat difahaminya dengan cepat sekali, kemudian
apa yang telah dihafalnya tidak mudah pula hilang dalam ingatannya.
Demikianlah keadaannya, sehingga kawan-kawan sepersekolahannya kagum dan
hairan kepadanya.
Belajar di Makkah, Madinah dan Basrah
Setelah mencapai usia dewasa, Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab diajak oleh
ayahnya untuk bersama-sama pergi ke tanah suci Mekah untuk menunaikan rukun
Islam yang kelima - mengerjakan haji di Baitullah. Dan manakala telah
selesai menunaikan ibadah haji, ayahnya terus kembali ke kampung halamannya.
Adapun Muhammad, ia tidak pulang, tetapi terus tinggal di Mekah selama
beberapa waktu, kemudian berpindah pula ke Madinah untuk melanjutkan
pengajiannya di sana. Di Madinah, beliau berguru pada dua orang ulama besar
dan termasyhur di waktu itu. Kedua-dua ulama tersebut sangat berjasa dalam
membentuk pemikirannya, iaitu Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif an-Najdi
dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi.
Selama berada di Madinah, beliau sangat prihatin menyaksikan ramai umat
Islam tempatan maupun penziarah dari luar kota Madinah yang telah melakukan
perbuatan-perbuatan tidak senonoh dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang
yang mengaku dirinya Muslim. Beliau melihat ramai umat yang berziarah ke
maqam Nabi maupun ke maqam-maqam lainnya untuk memohon syafaat, bahkan
meminta sesuatu hajat pada kuburan maupun penghuninya, yang mana hal ini
sama sekali tidak dibenarkan oleh agama Islam. Apa yang disaksikannya itu
menurut Syeikh Muhammad adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang
sebenarnya.
Kesemua inilah yang semakin mendorong Syeikh Muhammad untuk lebih mendalami
pengkajiannya tentang ilmu ketauhidan yang murni, yakni, aqidah salafiyah.
Bersamaan dengan itu beliau berjanji pada dirinya sendiri, bahwa pada suatu
ketika nanti, beliau akan mengadakan perbaikan (islah) dan pembaharuan
(tajdid) dalam masalah yang berkaitan dengan ketauhidan, iaitu mengembalikan
aqidah umat kepada sebersih-bersihnya tauhid yang jauh dari khurafat, tahyul
dan bid'ah. Untuk itu, beliau mesti mendalami benar-benar tentang aqidah ini
melalui kitab-kitab hasil karya ulama-ulama besar di abad-abad yang silam.
Di antara karya-karya ulama terdahulu yang paling terkesan dalam jiwanya
adalah karya-karya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah. Beliau adalah mujaddid
besar abad ke 7 Hijriyah yang sangat terkenal.
Demikianlah meresapnya pengaruh dan gaya Ibnu Taimiyah dalam jiwanya,
sehingga Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab bagaikan duplikat(salinan) Ibnu
Taimiyah. Khususnya dalam aspek ketauhidan, seakan-akan semua yang
diidam-idamkan oleh Ibnu Taimiyah semasa hidupnya yang penuh ranjau dan
tekanan dari pihak berkuasa, semuanya telah ditebus dengan kejayaan Ibnu
'Abdul Wahab yang hidup pada abad ke 12 Hijriyah itu.
Setelah beberapa lama menetap di Mekah dan Madinah, kemudian beliau
berpindah ke Basrah. Di sini beliau bermukim lebih lama, sehingga banyak
ilmu-ilmu yang diperolehinya, terutaman di bidang hadith dan musthalahnya,
fiqh dan usul fiqhnya, gramatika (ilmu qawa'id) dan tidak ketinggalan pula
lughatnya semua.
Lengkaplah sudah ilmu yang diperlukan oleh seorang yang pintar yang kemudian
dikembangkan sendiri melalui self-study(belajar sendiri) sebagaimana
lazimnya para ulama besar Islam mengembangkan ilmu-ilmunya. Di mana
bimbingan guru hanyalah sebagai modal dasar yang selanjutnya untuk dapat
dikembangkan dan digali sendiri oleh yang bersangkutan.
Mulai Berdakwah
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab memulai dakwahnya di Basrah, tempat di mana
beliau bermukim untuk menuntut ilmu ketika itu. Akan tetapi dakwahnya di
sana kurang berjaya, kerana menemui banyak rintangan dan halangan dari
kalangan para ulama setempat.
Di antara pendukung dakwahnya di kota Basrah ialah seorang ulama yang
bernama Syeikh Muhammad al-Majmu'i. Tetapi Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab
bersama pendukungnya mendapat tekanan dan ancaman dari sebahagian ulama su',
iaitu ulama jahat yang memusuhi dakwahnya di sana; kedua-dua mereka diancam
akan dibunuh. Akhirnya beliau meninggalkan Basrah dan mengembara ke beberapa
negeri Islam untuk memperluaskan ilmu dan pengalamannya.
Di samping mempelajari keadaan negeri-negeri Islam yang berjiran, demi
kepentingan dakwahnya di masa akan datang, dan setelah menjelajahi beberapa
negeri Islam, beliau lalu kembali ke al-Ihsa menemui gurunya Syeikh Abdullah
bin 'Abd Latif al-Ihsai untuk mendalami beberapa bidang pengajian tertentu
yang selama ini belum sempat didalaminya.
Di sana beliau bermukim untuk beberapa waktu, dan kemudian beliau kembali ke
kampung asalnya Uyainah, tetapi tidak lama kemudian beliau menyusul orang
tuanya yang merupakan bekas ketua jabatan urusan agama Uyainah ke Haryamla,
iaitu suatu tempat di daerah Uyainah juga.
Adalah dikatakan bahwa di antara orang tua Syeikh Muhammad dan pihak
berkuasa Uyainah berlaku perselisihan pendapat, yang oleh kerana itulah
orang tua Syeikh Muhammad terpaksa berhijrah ke Haryamla pada tahun 1139.
Setelah perpindahan ayahnya ke Haryamla kira-kira setahun, barulah Syeikh
Muhammad menyusulnya pada tahun 1140 H. Kemudian, beliau bersama bapanya itu
mengembangkan ilmu dan mengajar serta berdakwah selama lebih kurang 13 tahun
lamanya, sehingga bapanya meninggal dunia di sana pada tahun 1153.
Setelah tiga belas tahun menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar di
Haryamla, beliau mengajak pihak berkuasa setempat untuk bertindak tegas
terhadap kumpulan penjahat yang selalu melakukan rusuhan, rampasan, rompakan
serta pembunuhan. Maka kumpulan tersebut tidak senang kepada Syeikh
Muhammad, lalu mereka mengancam hendak membunuhnya. Syeikh Muhammad terpaksa
meninggalkan Haryamla, berhijrah ke Uyainah tempat bapanya dan beliau
sendiri dilahirkan.
Keadaan Negeri Najd, Hijaz dan Sekitarnya
KEADAAN negeri Najd, Hijaz dan sekitarnya semasa awal pergerakan tauhid
amatlah buruknya. Krisis aqidah dan akhlak serta merosotnya tata nilai
sosial, ekonomi dan politik sudah mencapai titik kemuncak. Semua itu adalah
akibat penjajahan bangsa Turki yang berpanjangan terhadap bangsa dan Jazirah
Arab, di mana tanah Najd dan Hijaz adalah termasuk jajahannya, di bawah
penguasaan Sultan Muhammad Ali Pasya yang dilantik oleh Khalifah di Turki
(Istanbul) sebagai gabenur jeneral untuk daerah koloni di kawasan Timur
Tengah, yang berkedudukan di Mesir.
Pemerintahan Turki Raya pada waktu itu mempunyai daerah kekuasaan yang cukup
luas. Pemerintahannya berpusat di Istanbul (Turki), yang begitu jauh dari
daerah jajahannya.
Kekuasaan dan pengendalian khalifah maupun sultan-sultannya untuk daerah
yang jauh dari pusat, sudah mulai lemah dan kendur disebabkan oleh kekacauan
di dalam negeri dan kelemahan di pihak khalifah dan para sultannya. Di
samping itu, adanya cita-cita dari amir-amir di negeri Arab untuk melepaskan
diri dari kekuasaan pemerintah pusat yang berkedudukan di Turki. Ditambah
lagi dengan hasutan dari bangsa Barat, terutama penjajah tua iaitu British
dan Perancis yang menghasut bangsa Arab dan umat Islam supaya berjuang
merebut kemerdekaan dari bangsa Turki, hal mana sebenarnya hanyalah tipudaya
untuk memudahkan kaum penjajah tersebut menanamkan pengaruhnya di kawasan
itu, kemudian mencengkamkan kuku penjajahannya di dalam segala lapangan,
seperti politik, ekonomi, kebudayaan dan aqidah.
Kemerosotan dari sektor agama, terutama yang menyangkut aqidah sudah begitu
memuncak. Kebudayaan jahiliyah dahulu seperti taqarrub (mendekatkan diri)
pada kuburan (maqam) keramat, memohon syafaat dan meminta berkat serta
meminta diampuni dosa dan disampaikan hajat, sudah menjadi ibadah mereka
yang paling utama sekali, sedangkan ibadah-ibadah menurut syariat yang
sebenarnya pula dijadikan perkara kedua. Di mana ada maqam wali, orang-orang
soleh, penuh dibanjiri oleh penziarah-penziarah untuk meminta sesuatu hajat
keperluannya. Seperti misalnya pada maqam Syeikh Abdul Qadir Jailani, dan
maqam-maqam wali lainnya. Hal ini terjadi bukan hanya di tanah Arab saja,
tetapi juga di mana-mana, di seluruh pelusuk dunia sehingga suasana di
negeri Islam waktu itu seolah-olah sudah berbalik menjadi jahiliyah seperti
pada waktu pra Islam menjelang kebangkitan Nabi Muhammad SAW.
Masyarakat Muslim lebih banyak berziarah ke kuburan atau maqam-maqam keramat
dengan segala macam munajat dan tawasul, serta pelbagai doa dialamatkan
kepada maqam dan penghuninya, dibandingkan dengan mereka yang datang ke
masjid untuk solat dan munajat kepada Allah SWT. Demikianlah kebodohan umat
Islam hampir merata di seluruh negeri, sehingga di mana-mana maqam yang
dianggap keramat, maqam itu dibina bagaikan bangunan masjid, malah lebih
mewah daripada masjid, kerana dengan mudah saja dana mengalir dari
mana-mana, terutama biaya yang diperolehi dari setiap pengunjung yang
berziarah ke sana, atau memang adanya tajaan dari orang yang membiayainya di
belakang tabir, dengan maksud-maksud tertentu. Seperti dari imperalis
British yang berdiri di belakang tabir maqam Syeikh Abdul Qadir Jailani di
India misalnya.
Di tengah-tengah keadaan yang sedemikian rupa, maka Allah melahirkan seorang
muslih kabir (pembaharuan besar) Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab
(al-Wahabi) dari 'Uyainah (Najd) sebagai mujaddid Islam terbesar abad ke 12
Hijriyah, setelah Ibnu Taimiyah, mujaddid abad ke 7 Hijriyah yang sangat
terkenal itu.
Bidang pentajdidan kedua mujaddid besar ini adalah sama, iaitu mengadakan
pentajdidan dalam aspek aqidah, walau masanya berbeza, iaitu kedua-duanya
tampil untuk memperbaharui agama Islam yang sudah mulai tercemar dengan
bid'ah, khurafat dan tahyul yang sedang melanda Islam dan kaum Muslimin.
Menghadapi hal ini Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab telah menyusun barisan
Muwahhidin yang berpegang kepada pemurnian tauhid. Bagi para lawannya,
pergerakan ini mereka sebut Wahabiyin iaitu gerakan Wahabiyah.
Dalam pergerakan tersebut tidak sedikit rintangan dan halangan yang dilalui.
Kadangkala Tuan Syeikh terpaksa melakukan tindakan kekerasan apabila tidak
boleh dengan cara yang lembut. Tujuannya tidak lain melainkan untuk
mengembalikan Islam kepada kedudukannya yang sebenarnya, iaitu dengan
memurnikan kembali aqidah umat Islam seperti yang diajarkan oleh Kitab Allah
dan Sunnah RasulNya.
Setelah perjuangan yang tidak mengenal penat lelah itu, akhirnya niat yang
ikhlas itu disampaikan Allah, sesuai dengan firmanNya:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah niscaya Allah akan
menolongmu dan menetapkan pendirianmu." (Muhammad: 7)
Awal Pergerakan Tauhid
Muhammad bin 'Abdul Wahab memulakan pergerakan di kampungnya sendiri iaitu
Uyainah. Di waktu itu Uyainah diperintah oleh seorang amir (penguasa)
bernama Amir Uthman bin Mu'ammar. Amir Uthman menyambut baik idea dan
gagasan Syeikh Muhammad itu dengan sangat gembira, dan beliau berjanji akan
menolong perjuangan tersebut sehingga mencapai kejayaan.
Selama Tuan Syeikh melancarkan dakwahnya di Uyainah, masyarakat negeri itu
baik lelaki dan wanita merasakan kembali kenikmatan luarbiasa, yang selama
ini belum pernah mereka rasakan. Dakwah Tuan Syeikh bergema di negeri
mereka. Ukhuwah Islamiyah dan persaudaraan Islam telah tumbuh kembali berkat
dakwahnya di seluruh pelusuk Uyainah dan sekitarnya. Orang-orang dari jauh
pun mula mengalir berhijrah ke Uyainah, kerana mereka menginginkan keamanan
dan ketenteraman jiwa di negeri ini.
Syahdan; pada suatu hari, Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab meminta izin pada
Amir Uthman untuk menghancurkan sebuah bangunan yang dibina di atas maqam
Zaid bin al-Khattab. Zaid bin al-Khattab adalah saudara kandung Umar bin
al-Khattab, Khalifah Rasulullah yang kedua. Tuan Syeikh Muhammad
mengemukakan alasannya kepada Amir, bahwa menurut hadith Rasulullah SAW,
membina sesebuah bangunan di atas kubur adalah dilarang, kerana yang
demikian itu akan menjurus kepada kemusyrikan. Amir menjawab: "Silakan...
tidak ada seorang pun yang boleh menghalang rancangan yang mulia ini."
Tetapi Tuan Syeikh mengajukan pendapat bahwa beliau khuatir masalah itu
kelak akan dihalang-halangi oleh ahli jahiliyah(kaum Badwi) yang tinggal
berdekatan maqam tersebut. Lalu Amir menyediakan 600 orang tentera untuk
tujuan tersebuti bersama-sama Syeikh Muhammad merobohkan maqam yang
dikeramatkan itu.
Sebenarnya apa yang mereka sebut sebagai maqam Zaid bin al-Khattab r.a yang
gugur sebagai syuhada' Yamamah ketika menumpaskan gerakan Nabi Palsu
(Musailamah al-Kazzab) di negeri Yamamah suatu waktu dulu, hanyalah
berdasarkan prasangka belaka. Kerana di sana terdapat puluhan syuhada'
(pahlawan) Yamamah yang dikebumikan tanpa jelas lagi pengenalan mereka.
Boleh jadi yang mereka anggap maqam Zaid bin al-Khattab itu adalah maqam
orang lain. Tetapi oleh kerana masyarakat tempatan di situ telah terlanjur
beranggapan bahwa itulah maqam beliau, mereka pun mengkeramatkannya dan
membina sebuah masjid di tempat itu, yang kemudian dihancurkan pula oleh
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab atas bantuan Amir Uyainah, Uthman bin
Mu'ammar.
Syeikh Muhammad tidak berhenti setakat di sana, akan tetapi semua
maqam-maqam yang dipandang merbahaya bagi aqidah ketauhidan, yang dibina
seperti masjid yang pada ketika itu berselerak di seluruh wilayah Uyainah
turut diratakan semuanya. Hal ini adalah untuk mencegah agar jangan sampai
dijadikan objek peribadatan oleh masyarakat Islam tempatan yang sudah mulai
nyata kejahiliyahan dalam diri mereka. Dan berkat rahmat Allah, maka
pusat-pusat kemusyrikan di negeri Uyainah dewasa itu telah terkikis habis
sama sekali.
Setelah selesai dari masalah tauhid, maka Tuan Syeikh mula menerangkan dan
mengajarkan hukum-hukum syariat yang sudah berabad-abad hanya termaktub saja
dalam buku-buku fiqh, tetapi tidak pernah diterapkan sebagai hukum yang
diamalkan. Maka yang dilaksanakannya mula-mula sekali ialah hukum rejam bagi
penzina.
Pada suatu hari datanglah seroang wanita yang mengaku dirinya berzina ke
hadapan Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab, dia meminta agar dirinya
dijatui hukuman yang sesuai dengan hukum Allah dan RasulNya. Meskipun Tuan
Syeikh mengharapkan agar wanita itu menarik balik pengakuannya itu, supaya
ia tidak terkena hukum rejam, namun wanita tersebut tetap bertahan dengan
pengakuannya tadi, ia ingin menjalani hukum rejam. Maka, terpaksalah Tuan
Syeikh menjatuhkan kepadanya hukuman rejam atas dasar pengakuan wanita
tersebut.
Berita tentang kejayaan Tuan Syeikh dalam memurnikan masyarakat Uyainah dan
penerapan hukum rejam kepada orang yang berzina, sudah tersebar luas di
kalangan masyarakat Uyainah maupun di luar Uyainah.
Masyarakat Uyainah dan sekelilingnya menilai gerakan Tuan Syeikh Ibnu 'Abdul
Wahab ini sebagai suatu perkara yang mendatangkan kebaikan. Namun, beberapa
kalangan tertentu menilai pergerakan Tuan Syeikh itu sebagai suatu perkara
yang negatif dan boleh membahayakan kedudukan mereka. Memang, hal seumpama
ini terdapat di mana-mana dan bila-bila masa saja, apatah lagi pergerakan
keagamaan yang sangat sensitif seperti halnya untuk mengislamkan masyarakat
Islam yang sudah kembali ke jahiliyah ini, iaitu, dengan cara mengembalikan
mereka kepada aqidah salafiyah seperti di zaman Nabi, para sahabat dan para
tabi'in dahulu.
Di antara yang beranggapan sangsi seperti itu adalah Amir (pihak berkuasa)
wilayah al-Ihsa' (suku Badwi) dengan para pengikut-pengikutnya dari Bani
Khalid Sulaiman bin Ari'ar al-Khalidi. Mereka adalah suku Badwi yang
terkenal berhati keras, suka merampas, merompak dan membunuh. Pihak berkuasa
al-Ihsa' khuatir kalau pergerakan Syeikh Muhammad tidak dipatahkan secepat
mungkin, sudah pasti wilayah kekuasaannya nanti akan direbut oleh pergerakan
tersebut. Padahal Amir ini sangat takut dijatuhkan hukum Islam seperti yang
telah diperlakukan di negeri Uyainah. Dan tentunya yang lebih ditakutinya
lagi ialah kehilangan kedudukannya sebagai Amir (ketua) suku Badwi. Maka
Amir Badwi ini menulis sepucuk surat kepada Amir Uyainah yang isinya
mengancam pihak berkuasa Uyainah. Adapun isi ancaman tersebut ialah:
"Apabila Amir Uthman tetap membiarkan dan mengizinkan Syeikh Muhammad terus
berdakwah dan bertempat tinggal di wilayahnya, serta tidak mau membunuh
Syeikh Muhammad, maka semua cukai dan ufti wilayah Badwi yang selama ini
dibayar kepada Amir Uthman akan diputuskan (ketika itu wilayah Badwi
tertakluk di bawak kekuasaan pemerintahan Uyainah)."
Jadi, Amir Uthman dipaksa untuk memilih dua pilihan, membunuh Tuan Syeikh
atau suku Badwi itu menghentikan pembayaran ufti.
Ancaman ini amat mempengaruhi fikiran Amir Uthman, kerana ufti dari wilayah
Badwi sangat besar ertinya baginya. Adapun cukai yang mereka terima adalah
terdiri dari emas tulin.
Didesak oleh tuntutan tersebut, terpaksalah Amir Uyainah memanggil Syeikh
Muhammad untuk diajak berunding bagaimanakah mencari jalan keluar dari
ancaman tersebut. Soalnya, dari pihak Amir Uthman tidak pernah sedikit pun
terfikir untuk mengusir Tuan Syeikh dari Uyainah, apatah lagi untuk
membunuhnya. Tetapi, sebaliknya dari pihaknya juga tidak terdaya menangkis
serangan pihak suku Badwi itu. Maka, Amir Uthman meminta kepada Tuan Syeikh
Muhammad supaya dalam hal ini demi keselamatan bersama dan untuk menghindari
dari terjadinya pertumpahan darah, sebaik-baiknya Tuan Syeikh bersedia
mengalah untuk meninggalkan negeri Uyainah. Tuan Syeikh menjawab seperti
berikut:
"Tuan Amir! Sebenarnya apa yang aku sampaikan dari dakwahku, tidak lain
adalah DINULLAH (agama Allah), dalam rangka melaksanakan kandungan LA ILAHA
ILLALLAH - Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah. Maka
barangsiapa berpegang teguh pada agama dan membantu pengembangannya dengan
ikhlas dan yakin, pasti Allah akan menghulurkan bantuan dan pertolonganNya
kepada orang itu, dan Allah akan membantunya untuk dapat menguasai
negeri-negeri musuhnya. Saya berharap kepada Tuan Amir supaya bersabar dan
tetap berpegang terhadap pegangan kita bersama dulu, untuk sama-sama
berjuang demi tegaknya kembali Dinullah di negeri ini. Mohon sekali lagi
Tuan Amir menerima ajakan ini. Mudah-mudahan Allah akan memberi pertolongan
kepada Tuan dan menjaga Tuan dari ancaman Badwi itu, begitu juga dengan
musuh-musuh Tuan yang lainnya. Dan Allah akan memberi kekuatan kepada Tuan
untuk melawan mereka agar Tuan dapat mengambil alih daerah Badwi untuk
sepenuhnya menjadi daerah Uyainah di bawah kekuasaan Tuan."
Setelah bertukar fikiran di antara Tuan Syeikh dan Amir Uthman, tampaknya
pihak Amir tetap pada pendiriannya, iaitu mengharapkan agar Tuan Syeikh
meninggalkan Uyainah secepat mungkin.
Dalam bukunya yang berjudul Al-Imam Muhammad bin 'Abdul Wahab, Wada' Watahu
Wasiratuhu, Syeikh Muhammad bin 'Abdul 'Aziz bin 'Abdullah bin Baz, beliau
berkata:
"Demi menghindari pertumpahan darah, dan kerana tidak ada lagi pilihan lain,
di samping beberapa pertimbangan lainnya maka terpaksalah Tuan Syeikh
meninggalkan negeri Uyainah menuju negeri Dar'iyah dengan menempuh
perjalanan secara berjalan kaki seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa
pun. Beliau meninggalkan negeri Uyainah pada waktu dinihari, dan sampai ke
negeri Dar'iyah pada waktu malam hari." (Ibnu Baz, Syeikh 'Abdul 'Aziz bin
'Abdullah, m.s 22)
Tetapi ada juga tulisan lainnya yang mengatakan bahwa:
Pada mulanya Tuan Syeikh Muhammad mendapat sokongan penuh dari pemerintah
negeri Uyainah Amir Uthman bin Mu'ammar, namun setelah api pergerakan
dinyalakan, pemerintah tempatan mengundurkan diri dari percaturan pergerakan
kerana alasan politik (besar kemungkinan takut dipecat dari jabatannya
sebagai Amir Uyainah oleh pihak atasannya). Dengan demikian, tinggallah
Syeikh Muhammad dengan beberapa orang sahabatnya yang setia untuk meneruskan
missinya. Dan beberapa hari kemudian, Syeikh Muhammad diusir keluar dari
negeri itu oleh pemerintahnya.
Bersamaan dengan itu, pihak berkuasa telah merencanakan pembunuhan ke atas
diri Tuan Syeikh di dalam perjalanannya, namun Allah mempunyai rencana
sendiri untuk menyelamatkan Tuan Syeikh dari usaha pembunuhan, wamakaru
wamakarallalu wallahu khairul makirin. Mereka mempunyai rencana dan Allah
mempunyai rencanaNya juga, dan Allah sebaik-baik pembuat rencana. Sehingga
Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab selamat di perjalanannya sampai ke
negeri tujuannya, iaitu negeri Dar'iyah.
Syeikh Muhammad di Dar'iyah
Sesampainya Syeikh Muhammad di sebuah kampung wilayah Dar'iyah, yang tidak
berapa jauh dari tempat kediaman Amir Muhammad bin Saud (pemerintah negeri
Dar'iyah), Tuan Syeikh menemui seorang penduduk di kampung itu, orang
tersebut bernama Muhammad bin Sulaim al-'Arini. Bin Sulaim ini adalah
seorang yang dikenal soleh oleh masyarakat tempatan.
Tuan Syeikh meminta izin untuk tinggal bermalam di rumahnya sebelum ia
meneruskan perjalanannya ke tempat lain.
Pada mulanya ia ragu-ragu menerima Tuan Syeikh di rumahnya, kerana suasana
Dar'iyah dan sekelilingnya pada waktu itu tidak tenteram, menyebabkan setiap
tetamu yang datang hendaklah melapor diri kepada pihak berkuasa tempatan.
Namun, setelah Tuan Syeikh memperkenalkan dirinya serta menjelaskan maksud
dan tujuannya datang ke negeri Dar'iyah, iaitu hendak menyebarkan dakwah
Islamiyah dan membenteras kemusyrikan, barulah Muhammad bin Sulaim ingin
menerimanya sebagai tetamu di rumahnya.
Sesuai dengan peraturan yang wujud di Dar'iyah di kala itu, yang mana setiap
tetamu hendaklah melaporkan diri kepada pihak berkuasa tempatan, maka
Muhammad bin Sulaim menemui Amir Muhammad untuk melaporkan tetamunya yang
baru tiba dari Uyainah dengan menjelaskan maksud dan tujuannya kepada
beliau.
Kononnya, ada riwayat yang mengatakan; bahwa seorang soleh datang menemui
isteri Amir Ibnu Saud, ia berpesan untuk menyampaikan kepada suaminya, bahwa
ada seorang ulama dari Uyainah yang bernama Muhammad bin 'Abdul Wahab hendak
menetap di negerinya. Beliau hendak menyampaikan dakwah Islamiyah dan
mengajak masyarakat kepada sebersih-bersih tauhid. Ia meminta agar isteri
Amir Ibnu Saud memujuk suaminya supaya menerima ulama tersebut agar dapat
menjadi warga negeri Dar'iyah serta mau membantu perjuangannya dalam
menegakkan agama Allah.
Isteri Ibnu Saud ini sebenarnya adalah seorang wanita yang soleh. Maka,
tatkala Ibnu Saud mendapat giliran ke rumah isterinya ini, si isteri
menyampaikan semua pesan-pesan itu kepada suaminya.
Selanjutnya ia berkata kepada suaminya:
"Bergembiralah kekanda dengan keuntungan besar ini, keuntungan di mana Allah
telah mengirimkan ke negeri kita seorang ulama, juru dakwah yang mengajak
masyarakat kita kepada agama Allah, berpegang teguh kepada Kitabullah dan
Sunnah RasulNya. Inilah suatu keuntungan yang sangat besar. Kanda jangan
ragu-ragu untuk menerima dan membantu perjuangan ulama ini, mari sekarang
juga kekanda menjemputnya kemari."
Akhirnya, baginda Ibnu Saud dapat diyakinkan oleh isterinya yang soleh itu.
Namun, baginda bimbang sejenak. Ia berfikir apakah Tuan Syeikh itu dipanggil
datang mengadapnya, ataukah dia sendiri yang harus datang menjemput Tuan
Syeikh, untuk dibawa ke tempat kediamannya? Baginda pun meminta pandangan
dari beberapa penasihatnya, terutama iserinya sendiri, tentang bagaimanakah
cara yang lebih baik harus dilakukannya.
Isterinya dan para penasihatnya yang lain sepakat bahwa sebaik-baiknya dalam
hal ini, baginda sendiri yang harus datang menemui Tuan Syeikh Muhammad di
rumah Muhammad bin Sulaim. Kerana ulama itu didatangi dan bukan ia yang
datang, al-'alim Yuraru wala Yazuru.'' Maka baginda dengan segala kerendahan
hatinya mempersetujui nasihat dan isyarat dari isteri maupun para
penasihatnya.
Maka pergilah baginda bersama beberapa orang pentingnya ke rumah Muhammad
bin Sulaim, di mana Tuan Syeikh Muhammad bermalam.
Sesampainya baginda di rumah Muhammad bin Sulaim; di sana Tuan Syeikh
bersama tuan punya rumah sudah bersedia menerima kedatangan Amir Ibnu Saud.
Amir Ibnu Saud memberi salam dan keduanya saling merendahkan diri, saling
menghormati.
Amir Ibnu Saud berkata:
"Ya Tuan Syeikh! Bergembiralah tuan di negeri kami, kami menerima dan
menyambut kedatangan Tuan di negeri ini dengan penuh gembira. Dan kami
berikrar ntuk menjamin keselamatan dan keamanan Tuan Syeikh di negeri ini
dalam menyampaikan dakwahnya kepada masyarakat Dar'iyah. Demi kejayaan
dakwah Islamiyah yang Tuan Syeikh rencanakan, kami dan seluruh keluarga
besar Ibnu Saud akan mempertaruhkan nyawa dan harta untuk bersama-sama Tuan
Syeikh berjuang demi meninggikan agama Allah dan menghidupkan sunnah
RasulNya sehingga Allah memenangkan perjuangan ini, Insya Allah!"
Kemudian Tuan Syeikh menjawab:
"Alhamdulillah, tuan juga patut gembira, dan Insya Allah negeri ini akan
diberkati Allah SWT. Kami ingin mengajak umat ini kepada agama Allah. Siapa
yang menolong agama ini, Allah akan menolongnya. Dan siapa yang mendukung
agama ini, niscaya Allah akan mendukungnya. Dan Insya Allah kita akan
melihat kenyataan ini dalam waktu yang tidak begitu lama."
Demikianlah seorang Amir (penguasa) tunggal negeri Dar'iyah, yang bukan
hanya sekadar membela dakwahnya saja, tetapi juga sekaligus membela darahnya
bagaikan saudara kandung sendiri, yang bererti di antara Amir dan Tuan
Syeikh sudah bersumpah setia sehidup semati, senasib dan seperuntungan,
dalam menegakkan hukum Allah dan RasulNya di persada tanah Dar'iyah.
Ternyata apa yang diikrarkan oleh Amir Ibnu Saud itu benar-benar
ditepatinya. Ia bersama Tuan Syeikh seiring sejalan, bahu membahu dalam
menegakkan kalimah Allah, dan berjuang di jalanNya. Sehingga cita-cita dan
perjuangan mereka disampaikan Allah dengan penuh kemenangan yang
gilang-gemilang.
Sejak hijrahnya Tuan Syeikh ke negeri Dar'iyah, kemudian melancarkan
dakwahnya di sana, maka berduyun-duyunlah masyarakat luar Dar'iyah yang
datang dari penjuru Jazirah Arab. Di antara lain dari Uyainah, Urgah,
Manfuhah, Riyadh dan negeri-negeri jiran yang lain, menuju Dar'iyah untuk
menetap dan bertempat tinggal di negeri hijrah ini, sehingga negeri Dar'iyah
penuh sesak dengan kaum muhajirin dari seluruh pelusuk tanah Arab.
Nama Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab dengan ajaran-ajarannya itu sudah
begitu popular di kalangan masyarakat, baik di dalam negeri Dar'iyah maupun
di luar negerinya, sehingga ramai para penuntut ilmu datang
berbondong-bondong, baik secara perseorangan maupun secara berkumpulan ke
negeri Dar'iyah.
Maka menetaplah Tuan Syeikh di negeri Hijrah ini dengan penuh kebesaran,
kehormatan dan ketenteraman serta mendapat sokongan dan kecintaan dari semua
pihak.
Beliau pun mula membuka madrasah dengan menggunakan kurikulum yang menjadi
teras bagi rencana perjuangan beliau, iaitu bidang pengajian 'aqaid
al-Qur'an, tafsir, fiqh, usul fiqh, hadith, musthalah hadith, gramatika
(nahu/saraf)nya serta lain-lain lagi dari ilmu-ilmu yang bermanfaat.
Dalam waktu yang singkat saja, Dar'iyah telah menjadi kiblat ilmu dan kota
pelajar penuntut Islam. Para penuntut ilmu, tua dan muda, berduyun-duyun
datang ke negeri ini.
Di samping pendidikan formal (madrasah), diadakan juga dakwah serata, yang
bersifat terbuka untuk semua lapisan masyarakat umum, begitu juga
majlis-majlis ta'limnya.
Gema dakwah beliau begitu membahana di seluruh pelusuk Dar'iyah dan
negeri-negeri jiran yang lain. Kemudian, Tuan Syeikh mula menegakkan jihad,
menulis surat-surat dakwahnya kepada tokoh-tokoh tertentu untuk bergabung
dengan barisan Muwahhidin yang dipimpin oleh beliau sendiri. Hal ini dalam
rangka pergerakan pembaharuan tauhid demi membasmi syirik, bid'ah dan
khurafat di negeri mereka masing-masing.
Untuk langkah awal pergerakan itu, beliau memulakannya di negeri Najd.
Beliau pun mula mengirimkan surat-suratnya kepada ulama-ulama dan
penguasa-penguasa di sana.
Berdakwah Melalui Surat-menyurat
Tuan Syeikh menempuh pelbagai macam dan cara, dalam menyampaikan dakwahnya,
sesuai dengan keadaan masyarakat yang dihadapinya. Di samping berdakwah
melalui lisan, beliau juga tidak mengabaikan dakwah secara pena dan pada
saatnya juga jika perlu beliau berdakwah dengan besi (pedang).
Maka Tuan Syeikh mengirimkan suratnya kepada ulama-ulama Riyadh dan para
umaranya, yang pada ketika itu adalah Dahkan bin Dawwas. Surat-surat itu
dikirimkannya juga kepada para ulama Khariq dan penguasa-penguasa, begitu
juga ulama-ulama negeri Selatan, seperti al-Qasim, Hail, al-Wasyim, Sudair
dan lain-lain lagi.
Beliau terus mengirimkan surat-surat dakwahnya itu ke mana-mana, sama ada
ianya dekat ataupun jauh. Semua surat-surat itu ditujukan kepada para umara
dan ulama, dalam hal ini termasuklah ulama negeri al-Ihsa', daerah Badwi dan
Haramain (Mekah - Madinah). Begitu juga kepada ulama-ulama Mesir, Syria,
Iraq, Hindia, Yaman dan lain-lain lagi. Di dalam surat-surat itu, beliau
menjelaskan tentang bahaya syirik yang mengancam negeri-negeri Islam di
seluruh dunia, juga bahaya bid'ah, khurafat dan tahyul.
Bukanlah bererti bahwa ketika itu tidak ada lagi perhatian para ulama Islam
tempatan kepada agama ini, sehingga seolah-olah bagaikan tidak ada lagi yang
menguruskan hal ehwal agama. Akan tetapi yang sedang kita bicarakan sekarang
adalah ehwal negeri Najd dan sekitarnya.
Tentang keadaan negeri Najd, di waktu itu sedang dilanda serba kemusyrikan,
kekacauan, keruntuhan moral, bid'ah dan khurafat. Kesemua itu lahir bukanlah
kerana tidak adanya para ulama, malah ulama sangat ramai jumlahnya, tetapi
kebanyakan mereka tidak mampu menghadapi keadaan yang sudah begitu parah.
Misalnya, di negeri Yaman dan lainnya, di mana di sana tidak sedikit para
ulamanya yang aktif melakukan amar ma'ruf nahi mungkar, serta menjelaskan
mana yang bid'ah dan yang sunnah. Namun Allah belum mentaqdirkan kejayaan
dakwah itu dari tangan mereka seperti apa yang Allah taqdirkan kepada Tuan
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab.
Berkat hubungan surat menyurat Tuan Syeikh terhadap para ulama dan umara
dalam dan luar negeri, telah menambahkan kemasyhuran nama Tuan Syeikh
sehingga beliau disegani di antara kawan dan lawannya, hingga jangkauan
dakwahnya semakin jauh berkumandang di luar negeri, dan tidak kecil
pengaruhnya di kalangan para ulama dan pemikir Islam di seluruh dunia,
seperti di Hindia, Indonesia, Pakistan, Afthanistan, Afrika Utara, Maghribi,
Mesir, Syria, Iraq dan lain-lain lagi.
Seemangnya cukup ramai para da'i dan ulama di negeri-negeri tersebut tetapi
pada waktu itu ramai di antara mereka yang kehilangan arah, meskipun mereka
memiliki ilmu-ilmu yang cukup memadai.
Begitu bersemarak dan bergema suara dakwah dari Najd ke negeri-negeri
mereka, serentak mereka bangkit sahut-menyahut menerima ajakan Tuan Syeikh
Ibnu 'Abdul Wahab untuk menumpaskan kemusyrikan dan memperjuangkan pemurnian
tauhid. Semangat mereka timbul kembali bagaikan pohon yang telah layu, lalu
datang hujan lebat menyiramnya sehingga menjadi hijau dan segar kembali.
Demikianlah banyaknya surat-menyurat di antara Tuan Syeikh dengan para ulama
di dalam dan luar Jazirah Arab, sehingga menjadi dokumen yang amat berharga
sekali. Akhir-akhir ini semua tulisan beliau, baik yang berupa risalah,
maupun kitab-kitabnya, sedang dihimpun untuk dicetak dan sebahagian sudah
dicetak dan disebarkan ke seluruh pelusok dunia Islam, baik melalui Rabithah
al-'alam Islami, maupun terus dari pihak kerajaan Saudi sendiri. Begitu juga
dengan tulisan-tulisan dari putera-putera dan cucu-cucu beliau serta
tulisan-tulisan para murid-muridnya dan pendukung-pendukungnya yang telah
mewarisi ilmu-ilmu beliau. Di masa kini, tulisan-tulisan beliau sudah
tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia Islam.
Dengan demikian, jadilah Dar'iyah sebagai pusat penyebaran dakwah kaum
Muwahhidin (gerakan pemurnian tauhid) oleh Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab
yang didukung oleh penguasa Amir Ibnu Saud. Kemudian murid-murid keluaran
Dar'iyah pula menyebarkan ajaran-ajaran tauhid murni ini ke seluruh pelusuk
negeri dengan cara membuka sekolah-sekolah di daerah-daerah mereka.
Namun, meskipun demikian, perjalanan dakwah ini tidak sedikit mengalami
rintangan dan gangguan yang menghalangi. Tetapi setiap perjuangan itu tidak
mungkin berjaya tanpa adanya pengorbanan. Sejarah pembaharuan yang
digerakkan oleh Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab ini tercatat dalam
sejarah dunia sebagai yang paling hebat dari jenisnya dan amat cemerlang.
Di samping itu, hal ini merupakan suatu pergerakan perubahan besar yang
banyak memakan korban manusia maupun harta benda. Kerana pergerakan ini
mendapat tentangan bukan hanya dari luar, akan tetapi lebih banyak datangnya
dari kalangan sendiri, terutama dari tokoh-tokoh agama Islam sendiri yang
takut akan kehilangan pangkat, kedudukan, pengaruh dan jamaahnya. Namun,
oleh kerana perlawanan sudah dimulakan dari dalam, maka orang-orang di luar
Islam pula, terutama kaum orientalis mendapat angin segar untuk turut
campurtangan bagi memperbesarkan lagi perselisihan di antara umat Islam
sehingga berlakunya bid'ah membid'ahkan dan malah kafir mengkafirkan.
Masa-masa tersebut telah pun berlalu. Umat Islam kini sudah sedar tentang
apa dan siapa kaum Wahabi itu. Dan satu persatu kejahatan dan kebusukan kaum
orientalis yang sengaja mengadu domba antara sesama umat Islam mula
disedari, begitu juga dari kaum penjajah Barat, semuanya kini sudah
terungkap.
Meskipun usaha musuh-musuh dakwahnya begitu hebat, sama ada dari kalangan
dalam Islam sendiri, maupun dari kalangan luarnya, yang dilancarkan melalui
pena atau ucapan, yang mana matlamatnya adalah hendak membendung dakwah
tauhid ini, namun usaha mereka sia-sia belaka, kerana ternyata Allah SWT
telah memenangkan perjuangan dakwah tauhid yang dipelupuri oleh Syeikh
Islam, Imam Muhammad bin 'Abdul Wahab yang telah mendapat sambutan bukan
hanya oleh penduduk negeri Najd saja, akan tetapi juga sudah menggema ke
seluruh dunia Islam dari Maghribi sampai ke Merauke, malah kini sudah
berkumandang pula ke seluruh jagat raya.
Dalam hal ini, jasa-jasa Putera Muhammad bin Saud (pendiri kerajaan Arab
Saudi) dengan semua anak cucunya tidaklah boleh dilupakan begitu saja, di
mana dari masa ke masa mereka telah membantu perjuangan tauhid ini dengan
harta dan jiwa.
Siapakah Salafiyyah Itu?
SEBAGAIMANA yang telah disebutkan, bahwa Salafiyyah itu adalah suatu
pergerakan pembaharuan di bidanng agama, khususnya di bidang ketauhidan.
Tujuannya ialah untuk memurnikan kembali ketauhidan yang telah tercemar oleh
pelbagai macam bid'ah dan khurafat yang membawa kepada kemusyrikan.
Untuk mencapai tujuan tersebut, Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab telah
menempuh pelbagai macam cara. Kadangkala lembut dan kadangkala kasar, sesuai
dengan sifat orang yang dihadapinya. Beliau mendapat tentangan dan
perlawanan dari kumpulan yang tidak menyenanginya kerana sikapnya yang tegas
dan tidak berganjak, sehingga lawan-lawannya membuat tuduhan-tuduhan ataupun
pelbagai fitnah terhadap dirinya dan pengikut-pengikutnya. Musuh-musuhnya
pernah menuduh bahwa Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab telah melarang para
pengikutnya membaca kitab fiqh, tafsir dan hadith. Malahan ada yang lebih
kejam lagi, iaitu menuduh Syeikh Muhammad telah membakar beberapa kitab
tersebut, serta memperbolehkan mentafsirkan al-Qur'an menurut kehendak hawa
nafsu sendiri.
Apa yang dituduh dan difitnah terhadap Syeikh Ibnu 'Abdul Wahab itu, telah
dijawab dengan tegas oleh seorang pengarang terkenal, iaitu al-Allamah
Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani, dalam bukunya yang berjudul Shiyanah
al-Insan di halaman 473 seperti berikut:
"Sebenarnya perihal tuduhan tersebut telah dijawab sendiri oleh Syeikh Ibnu
'Abdul Wahab sendiri dalam suatu risalah yang ditulisnya dan dialamatkan
kepada 'Abdullah bin Suhaim dalam pelbagai masalah yang diperselisihkan itu.
Di antaranya beliau menulis bahwa semua itu adalah bohong dan kata-kata
dusta belaka, seperti dia dituduh membatalkan kitab-kitab mazhab, dan dia
mendakwakan dirinya sebagai mujtahid, bukan muqallid."
Kemudian dalam sebuah risalah yang dikirimnya kepada 'Abdurrahman bin
'Abdullah, Muhammad bin 'Abdul Wahab berkata:
"Aqidah dan agama yang aku anut, ialah mazhab ahli sunnah wal jamaah,
sebagai tuntunan yang dipegang oleh para Imam Muslimin, seperti Imam-imam
Mazhab empat dan pengikut-pengikutnya sampai hari kiamat. Aku hanyalah suka
menjelaskan kepada orang-orang tentang pemurnian agama dan aku larang mereka
berdoa (mohon syafaat) pada orang yang hidup atau orang mati daripada
orang-orang soleh dan lainnya."
'Abdullah bin Muhammad bin 'Abdul Wahab, menulis dalam risalahnya sebagai
ringkasan dari beberapa hasil karya ayahnya, Syeikh Ibnu 'Abdul Wahab,
seperti berikut:
"bahwa mazhab kami dalam usuluddin (tauhid) adalah mazhab ahlus sunnah wal
jamaah, dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikuti cara Ulama salaf.
Sedangkan dalam hal masalah furu' (fiqh) kami cenderung mengikuti mazhab
Ahmad bin Hanbal rahimaullah. Kami tidak pernah mengingkari (melarang)
seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami
tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab
empat, seprti mazhab Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi. Kami
tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami
memaksa mereka supaya bertaqlid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat
tersebut. Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahwa kami sudah sampai ke
tingkat mujtahid mutlaq, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami
yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah
yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari Qur'an maupun
Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang
menasakhkannya, atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih
kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang Imam empat, maka
kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anut, seperti dalam
masalah warisan yang menyangkut dengan datuk dan saudara lelaki; Dalam hal
ini kami berpendirian mendahulukan datuk, meskipun menyalahi mazhab kami
(Hambali)."
Demikianlah bunyi isi tulisan kitab Shiyanah al-Insan, hal. 474. Seterusnya
beliau berkata:
"Adapun yang mereka fitnah kepada kami, sudah tentu dengan maksud untuk
menutup-nutupi dan menghalang-halangi yang hak, dan mereka membohongi orang
ramai dengan berkata: 'bahwa kami suka mentafsirkan Qur'an dengan selera
kami, tanpa mengendahkan kitab-kitab tafsirnya. Dan kami tidak percaya
kepada ulama, menghina Nabi kita Muhammad SAW' dan dengan perkataan 'bahwa
jasad Nabi SAW itu buruk di dalam kuburnya. Dan bahwa tongkat kami ini lebih
bermanfaat daripada Nabi, dan Nabi itu tidak mempunyai syafaat. Dan ziarah
kepada kubur Nabi itu tidak sunat, Nabi tidak mengerti makna "La ilaha
illallah" sehingga perlu diturunkan kepadanya ayat yang berbunyi: "Fa'lam
annahu La ilaha illallah," dan ayat ini diturunkan di Madinah. Dituduhnya
kami lagi, bahwa kami tidak percaya kepada pendapat para ulama. Kami telah
menghancurkan kitab-kitab karangan para ulama mazhab, kerana di dalamnya
bercampur antara yang hak dan batil. Malah kami dianggap mujassimah
(menjasmanikan Allah), serta kami mengkufurkan orang-orang yang hidup
sesudah abad keenam, kecuali yang mengikuti kami. Selain itu kami juga
dituduh tidak mau menerima bai'ah seseorang sehingga kami menetapkan atasnya
'bahwa dia itu bukan musyrik begitu juga ibu bapanya juga bukan musyrik.'
Dikatakan lagi bahwa kami telah melarang manusia membaca selawat ke atas
Nabi SAW dan mengharamkan berziarah ke kubur-kubur. Kemudian dikatakannya
pula, jika seseorang yang mengikuti ajaran agama sesuai dengan kami, maka
orang itu akan diberikan kelonggaran dan kebebasan dari segala beban dan
tanggungan atau hutang sekalipun.
Kami dituduh tidak mau mengakui kebenaran para ahlul Bait r.a. Dan kami
memaksa menikahkan seseorang yang tidak kufu serta memaksa seseorang yang
tua umurnya dan ia mempunyai isteri yang muda untuk diceraikannya, kerana
akan dinikahkan dengan pemuda lainnya untuk mengangkat derajat golongan
kami.
Maka semua tuduhan yang diada-adakan dalam hal ini sungguh kami tidak
mengerti apa yang harus kami katakan sebagai jawapan, kecuali yang dapat
kami katakan hanya "Subhanaka - Maha suci Engkau ya Allah" ini adalah
kebohongan yang besar. Oleh kerana itu, maka barangsiapa menuduh kami dengan
hal-hal yang tersebut di atas tadi, mereka telah melakukan kebohongan yang
amat besar terhadap kami. Barangsiapa mengaku dan menyaksikan bahwa apa yang
dituduhkan tadi adalah perbuatan kami, maka ketahuilah: bahwa kesemuanya itu
adalah suatu penghinaan terhadap kami, yang dicipta oleh musuh-musuh agama
ataupun teman-teman syaitan dari menjauhkan manusia untuk mengikuti ajaran
sebersih-bersih tauhid kepada Allah dan keikhlasan beribadah kepadaNya.
Kami beri'tiqad bahwa seseorang yang mengerjakan dosa besar, seperti
melakukan pembunuhan terhadap seseorang Muslim tanpa alasan yang wajar,
begitu juga seperti berzina, riba' dan minum arak, meskipun berulang-ulang,
maka orang itu hukumnya tidaklah keluar dari Islam (murtad), dan tidak kekal
dalam neraka, apabila ia tetap bertauhid kepada Allah dalam semua
ibadahnya." (Shiyanah al-Insan, m.s 475)
Khusus tentang Nabi Muhammad SAW, Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab berkata:
"Dan apapun yang kami i'tiqadkan terhadap martabat Muhammad SAW bahwa
martabat baginda itu adalah setinggi-tinggi martabat makhluk secara mutlak.
Dan baginda itu hidup di dalam kuburnya dalam keadaan yang lebih daripada
kehidupan para syuhada yang telah dinaskan dalam al-Qur'an. Kerana baginda
itu lebih utama dari mereka, dengan tidak diragu-ragukan lagi. bahwa
Rasulullah SAW mendengar salam orang yang mengucapkan kepadanya. Dan adalah
sunnah berziarah kepada kuburnya, kecuali jika semata-mata dari jauh hanya
datang untuk berziarah ke maqamnya. Namun sunat juga berziarah ke masjid
Nabi dan melakukan solat di dalamnya, kemudian berziarah ke maqamnya. Dan
barangsiapa yang menggunakan waktunya yang berharga untuk membaca selawat ke
atas Nabi, selawat yang datang daripada beliau sendiri, maka ia akan
mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat."
Tantangan Terhadap Dakwah Salafiyyah
Sebagaimana lazimnya, seorang pemimpin besar dalam suatu gerakan perubahan,
maka Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab pun tidak lepas dari sasaran
permusuhan dari pihak-pihak tertentu, baik dari dalam maupun dari luar
Islam, terutama setelah Tuan Syeikh menyebarkah dakwahnya dengan tegas
melalui tulisan-tulisannya, baik berupa buku-buku maupun surat-surat yang
tidak terkira banyaknya. Surat-surat itu dikirim ke segenap penjuru negeri
Arab dan juga negeri-negeri Ajam (bukan Arab).
Surat-suratnya itu dibalas oleh pihak yang menerimanya, sehingga menjadi
beratus-ratus banyaknya. Mungkin kalau dibukukan niscaya akan menjadi
puluhan jilid tebalnya.
Sebahagian dari surat-surat ini sudah dihimpun, diedit serta diberi ta'liq
dan sudah diterbitkan, sebahagian lainnya sedang dalam proses penyusunan.
Ini tidak termasuk buku-buku yang sangat berharga yang sempat ditulis
sendiri oleh Tuan Syeikh di celah-celah kesibukannya yang luarbiasa itu.
Adapun buku-buku yang sempat ditulisnya itu berupa buku-buku pegangan dan
rujukan kurikulum yang dipakai di madrasah-madrasah ketika beliau memimpin
gerakan tauhidnya.
Tentangan maupun permusuhan yang menghalang dakwahnya, muncul dalam dua
bentuk:
1.      Permusuhan atau tentangan atas nama ilmiyah dan agama,
2.      Atas nama politik yang berselubung agama.
Bagi yang terakhir, mereka memperalatkan golongan ulama tertentu, demi
mendukung kumpulan mereka untuk memusuhi dakwah Wahabiyah.
Mereka menuduh dan memfitnah Tuan Syeikh sebagai orang yang sesat lagi
menyesatkan, sebagai kaum khawarij, sebagai orang yang ingkar terhadap ijma'
ulama dan pelbagai macam tuduhan buruk lainnya.
Namun Tuan Syeikh menghadapi semuanya itu dengan semangat tinggi, dengan
tenang, sabar dan beliau tetap melancarkan dakwah bil lisan dan bil hal,
tanpa mempedulikan celaan orang yang mencelanya,
Pada hakikatnya ada tiga golongan musuh-musuh dakwah beliau:
1.      Golongan ulama khurafat, yang mana mereka melihat yang haq (benar)
itu batil dan yang batil itu haq. Mereka menganggap bahwa mendirikan
bangunan di atas kuburan lalu dijadikan sebagai masjid untuk bersembahyang
dan berdoa di sana dan mempersekutukan Allah dengan penghuni kubur, meminta
bantuan dan meminta syafaat padanya, semua itu adalah agama dan ibadah. Dan
jika ada orang-orang yang melarang mereka dari perbuatan jahiliyah yang
telah menjadi adat tradisi nenek moyangnya, mereka menganggap bahwa orang
itu membenci auliya' dan orang-orang soleh, yang bererti musuh mereka yang
harus segera diperangi.
2.      Golongan ulama taksub, yang mana mereka tidak banyak tahu tentang
hakikat Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab dan hakikat ajarannya. Mereka
hanya taqlid belaka dan percaya saja terhadap berita-berita negatif mengenai
Tuan Syeikh yang disampaikan oleh kumpulan pertama di atas sehingga mereka
terjebak dalam perangkap asabiyah yang sempit tanpa mendapat kesempatan
untuk melepaskan diri dari belitan ketaksubannya. Lalu menganggap Tuan
Syeikh dan para pengikutnya seperti yang diberitakan, iaitu; anti auliya'
dan memusuhi orang-orang soleh serta mengingkari karamah mereka.
Mereka mencaci-maki Tuan Syeikh habis-habisan dan beliau dituduh sebagai
murtad.
3.      Golongan yang takut kehilangan pangkat dan jabatan, pengaruh dan
kedudukan. Maka golongan ini memusuhi beliau supaya dakwah Islamiyah yang
dilancarkan oleh Tuan Syeikh yang berpandukan kepada aqidah Salafiyah murni
gagal kerana ditelan oleh suasana hingar-bingarnya penentang beliau.
Demikianlah tiga jenis musuh yang lahir di tengah-tengah nyalanya api
gerakan yang digerakkan oleh Tuan Syeikh dari Najd ini, yang mana akhirnya
terjadilah perang perdebatan dan polemik yang berkepanjangan di antara Tuan
Syeikh di satu pihak dan lawannya di pihak yang lain. Tuan Syeikh menulis
surat-surat dakwahnya kepada mereka, dan mereka menjawabnya. Demikianlah
seterusnya.
Perang pena yang terus menerus berlangsung itu, bukan hanya terjadi di masa
hayat Tuan Syeikh sendiri, akan tetapi berterusan sampai kepada anak
cucunya. Di mana anak cucunya ini juga ditakdirkan Allah menjadi ulama.
Merekalah yang meneruskan perjuangan al-maghfurlah Syeikh Muhammad bin
'Abdul Wahab, yang dibantu oleh para muridnya dan pendukung-pendukung
ajarannya.
Demikianlah perjuangan Tuan Syeikh yang berawal dengan lisan, lalu dengan
pena dan seterusnya dengan senjata, telah didukung sepenuhnya oleh Amir
Muhammad bin Saud, penguasa Dar'iyah.
Beliau memulakan jihadnya dengan pedang pada tahun 1158 H. Sebagaimana kita
ketahui bahwa seorang da'i ilallah, apabila tidak didukung oleh kekuatan
yang mantap, pasti dakwahnya akan surut, meskipun pada tahap pertama
mengalami kemajuan. Namun pada akhirnya orang akan jemu dan secara
beransur-ansur dakwah itu akan ditinggalkan oleh para pendukungnya.
Oleh kerana itu, maka kekuatan yang paling ampuh untuk mempertahankan dakwah
dan pendukungnya, tidak lain harus didukung oleh senjata. Kerana masyarakat
yang dijadikan sebagai objek daripada dakwah kadangkala tidak mampan dengan
lisan maupun tulisan, akan tetapi mereka harus diiring dengan senjata, maka
waktu itulah perlunya memainkan peranan senjata. Alangkah benarnya firman
Allah SWT:
"Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami, dengan membawa
bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan
neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami
ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat
bagi umat manusia, dan supaya Allah mengetahi siapa yang menolong (agama)Nya
dan RasulNya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat
dan Maha Perkasa." (al-Hadid:25)
Ayat di atas menerangkan bahwa Allah SWT mengutus para RasulNya dengan
disertai bukti-bukti yang nyata untuk menumpaskan kebatilan dan menegakkan
kebenaran. Di samping itu pula, mereka dibekalkan dengan Kitab yang di
dalamnya terdapat pelbagai macam hukum dan undang-undang, keterangan dan
penjelasan. Juga Allah menciptakan neraca (mizan) keadilan, baik dan buruk
serta haq dan batil, demi tertegaknya kebenaran dan keadilan di
tengah-tengah umat manusia.
Namun semua itu tidak mungkin berjalan dengan lancar dan stabil tanpa
ditunjang oleh kekuatan besi (senjata) yang menurut keterangan al-Qur'an
al-Hadid fihi basun syadid iaitu, besi waja yang mempunyai kekuatan dahsyat.
Iaitu berupa senjata tajam, senjata api, peluru, senapang, meriam, kapal
perang, nuklear dan lain-lain lagi, yang pembuatannya mesti menggunakan
unsur besi.
Sungguh besi itu amat besar manfaatnya bagi kepentingan umat manusia yang
mana al-Qur'an menta'birkan dengan Wama nafiu linasi iaitu dan banyak
manfaatnya bagi umat manusia. Apatah lagi jika dipergunakan bagi kepentingan
dakwah dan menegakkan keadilan dan kebenaran seperti yang telah dimanfaatkan
oleh Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab semasa gerakan tauhidnya tiga
abad yang lalu.
Orang yang mempunyai akal yang sihat dan fikiran yang bersih akan mudah
menerima ajaran-ajaran agama, sama ada yang dibawa oleh Nabi, maupun oleh
para ulama. Akan tetapi bagi orang zalim dan suka melakukan kejahatan, yang
diperhambakan oleh hawa nafsunya, mereka tidak akan tunduk dan tidak akan
mau menerimanya, melainkan jika mereka diiring dengan senjata.
Demikianlah Tuan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahab dalam dakwah dan jihadnya
telah memanfaatkan lisan, pena serta pedangnya seperti yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW sendiri, di waktu baginda mengajak kaum Quraisy kepada agama
Islam pada waktu dahulu.
Yang demikian itu telah dilakukan terus menerus oleh Tuan Syeikh Muhammad
selama lebih kurang 48 tahun tanpa berhenti, iaitu dari tahun 1158 hinggalah
akhir hayatnya pada tahun 1206 H.
Adalah suatu kebahagiaan yang tidak terucapkan bagi beliau, yang mana beliau
dapat menyaksikan sendiri akan kejayaan dakwahnya di tanah Najd dan daerah
sekelilingnya, sehingga masyarakat Islam pada ketika itu telah kembali
kepada ajaran agama yang sebenar-benarnya, sesuai dengan tuntunan Kitab
Allah dan Sunnah RasulNya.
Dengan demikian, maka maqam-maqam yang didirikan dengan kubah yang lebih
mewah dari kubah masjid-masjid, sudah tidak kelihatan lagi di seluruh negeri
Najd, dan orang ramai mula berduyun-duyun pergi memenuhi masjid untuk
bersembahyang dan mempelajari ilmu agama. Amar ma'ruf ditegakkan, keamanan
dan ketenteraman masyarakat menjadi stabil dan merata di kota maupun di
desa. Tuan Syeikh kemudian mengirim guru-guru agama dan mursyid-mursyid ke
seluruh pelusuk desa untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat
tempatan terutama yang berhubungan dengan aqidah dan syari'ah.
Setelah beliau meninggal dunia, perjuangan tersebut diteruskan pula oleh
anak-anak dan cucu-cucunya, begitu juga oleh murid-murid dan
pendukung-pendukung dakwahnya. Yang paling terdepan di antara mereka adalah
anak-anak Syeikh sendiri, seperti Syeikh Imam 'Abdullah bin Muhammad, Tuan
Syeikh Husin bin Muhammad, Syeikh Ibrahim bin Muhammad, Syeikh Ali bin
Muhammad. Dan dari cucu-cucunya antara lain ialah Syeikh 'Abdurrahman bin
Hasan, Syeikh Ali bin Husin, Syeikh Sulaiman bin 'Abdullah bin Muhammad dan
lain-lain. Dari kalangan murid-murid beliau yang paling menonjol ialah
Syeikh Hamad bin Nasir bin Mu'ammar dan ramai lagi jamaah lainnya dari para
ulama Dar'iyah.
Masjid-masjid telah penuh dengan penuntut-penuntut ilmu yang belajar tentang
pelbagai macam ilmu Islam, terutama tafsir, hadith, tarikh Islam, ilmu
qawa'id dan lain-lain lagi.
Meskipun kecenderungan dan minat mansyarakat demikian tinggi untuk menuntut
ilmu agama, namun mereka pun tidak ketinggalan dalam hal ilmu-ilmu keduniaan
(sekular) seperti ilmu ekonomi, pertanian, perdagangan, pertukangan dan
lain-lain lagi yang mana semuanya itu diajarkan di masjid dan dipraktekkan
dalam kehidupan mereka sehari-hari.
Setelah kejayaan Syeikh Muhammad bersama keluarga Amir Ibnu Saud menguasai
dan mentadbir daerah Najd, maka sasaran dakwahnya kini ditujukan ke negeri
Mekah dan negeri Madinah (Haramain) dan daerah Selatan Jazirah Arab.
Mula-mula Syeikh menawarkan kepada mereka dakwahnya melalui surat menyurat
terhadap para ulamanya, namun mereka tidak mau menerimanya. Mereka tetap
bertahan pada ajaran-ajaran nenek moyang yang mengkeramatkan kuburan dan
mendirikan masjid di atasnya, lalu berduyun-duyun datang ke tempat itu
meminta syafaat, meminta berkat, dan meminta agar dikabulkan hajat pada ahli
kubur atau dengan mempersekutukan si penghuni kubur itu dengan Allah SWT.
Sebelas tahun setelah meninggalnya kedua tokoh mujahid ini, iaitu Syeikh dan
Amir Ibnu Saud, kemudian tampillah Imam Saud bin 'Abdul 'Aziz untuk
meneruskan perjuangan pendahulunya. Imam Saud adalah cucu kepada Amir
Muhammad bin Saud, rakan seperjuangan Syeikh semasa beliau masih hidup.
Berangkatlah Imam Saud bin 'Abdul 'Aziz menuju tanah Haram Mekah dan Madinah
(Haramain) yang dikenal juga dengan nama tanah Hijaz.
Mula-mula beliau bersama pasukannya berjaya menawan Ta'if. Penaklukan Ta'if
tidak begitu banyak mengalami kesukaran kerana sebelumnya Imam Saud bin
'Abdul 'Aziz telah mengirimkan Amir Uthman bin 'Abdurrahman al-Mudhayifi
dengan membawa pasukannya dalam jumlah yang besar untuk mengepung Ta'if.
Pasukan ini terdiri dari orang-orang Najd dan daerah sekitarnya. Oleh kerana
itu Ibnu 'Abdul 'Aziz tidak mengalami banyak kerugian dalam penaklukan
negeri Ta'if, sehingga dalam waktu singkat negeri Ta'if menyerah dan jatuh
ke tangan Wahabi.
Di Ta'if, pasukan muwahidin membongkar beberapa maqam yang di atasnya
didirikan masjid, di antara maqam yang dibongkar adalah maqam Ibnu Abbas
r.a. Masyarakat tempatan menjadikan maqam ini sebagai tempat ibadah, dan
meminta syafaat serta berkat daripadanya.
Dari Ta'if pasukan Imam Saud bergerak menuju Hijaz dan mengepung kota Mekah.
Manakala gabenor Mekah mengetahui hal ehwal pengepungan tersebut (waktu itu
Mekah di bawah pimpinan Syarif Husin), maka hanya ada dua pilihan baginya,
menyerah kepada pasukan Wahabi atau melarikan diri ke negeri lain. Ia
memilih pilihan kedua, iaitu melarikan diri ke Jeddah. Kemudian, pasukan
Saud segera masuk ke kota Mekah untuk kemudian menguasainya tanpa perlawanan
sedikit pun.
Tepat pada waktu fajar, Muharram 1218 H, kota suci Mekah sudah berada di
bawah kekuasaan muwahidin sepenuhnya.
Seperti biasa, pasukan muwahidin sentiasa mengutamakan sasarannya untuk
menghancurkan patung-patung yang dibuat dalam bentuk kubah di perkuburan
yang dianggap keramat, yang semuanya itu boleh mengundang kemusyrikan bagi
kaum Muslimin.Maka semua lambang-lambang kemusyrikan yang didirikan di atas
kuburan yang berbentuk kubah-kubah masjid di seluruh Hijaz, semuanya
diratakan, termasuk kubah yang didirikan di atas kubur Saiditina Khadijah
r.a, isteri Nabi kita Muhammad SAW.
Bersamaan dengan itu mereka melantik sejumlah guru, da'i, mursyid serta
hakim untuk ditugaskan di daerah Hijaz.
Selang dua tahun setelah penaklukan Mekah, pasukan Wahabi bergerak menuju
Madinah. Seperti halnya di Mekah, Madinah pun dalam waktu yang singkat saja
telah dapat dikuasai sepenuhnya oleh pasukan Muwahhidin di bawah panglima
Putera Saud bin Abdul Aziz, peristiwa ini berlaku pada tahun 1220 H.
Dengan demikian, daerah Haramain (Mekah - Madinah) telah jatuh ke tangan
muwahidin. Dan sejak itulah status sosial dan ekonomi masyarakat Hijaz
secara beransur-ansur dapat dipulihkan kembali, sehingga semua lapisan
masyarakat merasa aman, tenteram dan tertib, yang selama ini sangat mereka
inginkan.
Walaupun sebagai sebuah daerah yang ditaklui, keluarga Saud tidaklah
memperlakukan rakyat dengan sesuka hati. Keluarga Saud sangat baik terhadap
rakyat terutama pada kalangan fakir miskin yang mana pihak kerajaan memberi
perhatian yang berat terhadap nasib mereka. Dan tetaplah kawasan Hijaz
berada di bawah kekuasaan muwahidin (Saudi) yang dipimpin oleh keluarga Saud
sehingga pada tahun 1226 H.
Setelah lapan tahun wilayah ini berada di bawah kekuasaan Imam Saud,
pemerintah Mesir bersama sekutunya Turki, mengirimkan pasukannya untuk
membebaskan tanah Hijaz, terutama Mekah dan Madinah dari tangan muwahidin
sekaligus hendak mengusir mereka keluar dari daerah tersebut.
Adapun sebab campurtangan pemerintah Mesir dan Turki itu adalah seperti yang
telah dikemukakan pada bahagian yang lalu, iaitu kerana pergerakan muwahidin
mendapat banyak tentangan dari pihak musuh-musuhnya, sama ada ianya dari
pihak dalam Islam sendiri ataupun dari luarnya, yang mana tujuan mereka sama
iaitu untuk memulau dan memadamkan api gerakan dakwah salafiyyah. Oleh
kerana musuh-musuh gerakan salafiyyah tidak mempunyai kekuatan yang memadai
untuk menentang pergerakan Wahabiyah, maka mereka menghasut pemerintah Mesir
dan Turki dengan menggunakan nama agama, seperti yang telah diterangkan pada
bahagian yang lalu. Maka menyerbulah pasukan Mesir dan Turki ke negeri Hijaz
untuk membebaskan kedua-dua kota suci Mekah dan Madinah dari cengkaman kaum
muwahiddin, sehingga terjadilah peperangan di antara Mesir bersama sekutunya
Turki di satu pihak menentang pasukan muwahidin dari Najd dan Hijaz di pihak
lain. Peperangan ini telah berlangsung selama tujuh tahun, iaitu dari tahun
1226 hingga 1234 H.
Dalam masa perang tujuh tahun itu tidak sedikit kerugian yang dialami oleh
kedua belah pihak, terutama dari pihak pasukan Najd dan Hijaz, selain
kerugian harta benda, tidak sedikit pula kerugian nyawa dan tubuh manusia.
Tetapi syukur alhamdulillah, setelah lima tahun berlangsung perang saudara
di antara Mesir-Turki dan Wahabi, pihak Mesir maupun Turki sudah mulai jemu
dan bosan menghadapi peperangan yang berpanjangan itu. Akhirnya, secara
perlahan-lahan mereka sedar bahwa mereka telah keliru, sekaligus mereka
menyedari bahwa sesungguhnya gerakan Wahabi tidak lain adalah sebuah gerakan
aqidah murni dan patut ditunjang serta didukung oleh seluruh umat Islam.
Dalam dua tahun terakhir menjelang selesainya peperangan, secara diam-diam
gerakan muwahidin terus melakukan gerakan dakwah dan mencetak kader-kadernya
demi penerusan gerakan aqidah di masa-masa akan datang.
Sebaik sahaja berakhirnya peperangan yang telah memakan waktu tujuh tahun
tersebut, dakwah salafiyyah mulai lancar kembali seperti biasa. Semua
kekacauan di tanah Hijaz boleh dikatakan berakhir pada tahun 1239 H. Begitu
juga dakwah salafiyyah telah tersebar secara meluas dan merata ke seluruh
pelusuk Najd dan sekitarnya, di bawah kepemimpinan Imam Turki bin 'Abdullah
bin Muhammad bin Saud, adik sepupu Amir Saud bin 'Abdul 'Aziz yang
disebutkan dahulu.
Semenjak kekuasaan dipegang oleh Amir Turki bin 'Abdullah, suasana Najd dan
sekitarnya beransur-ansur pulih kembali, sehingga memungkinkan bagi keluarga
Saud (al-Saud) bersama keluarga Syeikh Muhammad (al-Syeikh) untuk
melancarkan kembali dakwah mereka dengan lisan dan tulisan melalui juru-juru
dakwah, para ulama serta para Khutaba.
Suasana yang sebelumnya penuh dengan huru hara dan saling berperang, kini
telah berubah menjadi suasana yang penuh aman dan damai menyebabkan syiar
Islam kelihatan di mana-mana di seluruh tanah Hijaz, Najd dan sekitarnya.
Sedangkan syi'ar kemusyrikan sudah hancur diratakan dengan tanah. Ibadah
hanya kepada Allah, tidak lagi ke perkuburan dan makhluk-makhluk lainnya.
Masjid mulai kelihatan semarak dan lebih banyak dikunjungi oleh umat Islam,
berbanding ke maqam-maqam yang dianggap keramat seperti sebelumnya.
Khususnya daerah Hijaz dengan kota Mekah dan Madinah, begitu lama terputus
hubungan dengan Kerajaan (daulah) Saudiyah, iaitu semenjak perlanggaran
Mesir dan sekutunya pada tahun 1226 -1342, yang bererti lebih kurang seratus
duapuluh tujuh tahun wilayah Hijaz terlepas dari tangan dinasti Saudiyah.
Dan barulah kembali ke tangan mereka pada tahun 1343 H, iaitu di saat daulah
Saudiyah dipimpin oleh Imam 'Abdul 'Aziz bin 'Abdurrahman bin Faisal bin
Turki bin 'Abdullah bin Muhammad bin Saud, cucu keempat dari pendiri dinasti
Saudiyah, Amir Muhammad bin Saud al-Awal.
Menurut sejarah, setelah Mekah - Madinah kembali ke pangkuan Arab Saudi pada
tahun 1343, hubungan Saudi - Mesir tetap tidak begitu baik yang mana tidak
ada hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara tersebut, meskipun
kedua-dua bangsa itu tetap terjalin ukhuwah Islamiyah.
Hanya setelah Raja Faisal menaiki tahta menjadi ketua negara Saudi, hubungan
Saudi - Mesir disambung kembali sehingga kini.
Kematiannya
Muhammad bin 'Abdul Wahab telah menghabiskan waktunya selama 48 tahun lebih
di Dar'iyah. Keseluruhan hidupnya diisi dengan kegiatan menulis, mengajar,
berdakwah dan berjihad serta mengabdi sebagai menteri penerangan Kerajaan
Saudi di Tanah Arab.
Dan Allah telah memanjangkan umurnya sampai 92 tahun, sehingga beliau dapat
menyaksikan sendiri kejayaan dakwah dan kesetiaan pendukung-pendukungnya.
Semuanya itu adalah berkat pertolongan Allah dan berkat dakwah dan jihadnya
yang gigih dan tidak kenal menyerah kalah itu.
Kemudian, setelah puas melihat hasil kemenangannya di seluruh negeri
Dar'iyah dan sekitarnya, dengan hati yang tenang, perasaan yang lega,
Muhammad bin 'Abdul Wahab menghadap Tuhannya. Beliau kembali ke rahmatullah
pada tanggal 29 Syawal 1206 H, bersamaan dengan tahun 1793 M, dalam usia 92
tahun. Jenazahnya dikebumikan di Dar'iyah (Najd).
Semoga Allah melapangkan kuburnya, dan menerima segala amal solehnya serta
mendapatkan tempat yang layak di sisi Allah

Jika anda melihat kebenaran didalamnya, maka pujilah Allah tabaraka wata`ala dan jika anda mendapati kebalikanya ,saya  berharap anda berkenan menegur saya,serta berikanlah doŽa kebaikan untuk saya, semoga Allah meluruskan kesalahan saya dan mengampuni keteledoran saya... !!
kritik + saran: loper_kor4n@yahoo.com  Last update ,25 november 2010
Terhitung sejak,16 April 2005 anda pengunjung yang ke: